Pantangan Yang Harus Dijaga Saat Bertengkar Dengan Suami

Publisher Vol/Syu Hiburan
09 Feb 2022, 21:31:43 WIB
Pantangan Yang Harus Dijaga Saat Bertengkar Dengan Suami

(VOKALONLINE.COM)-'Sedangkah lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri...' Itulah salah satu dari bait dalam lirik lagu Tan Sri P Ramlee dalam filem Tiga Abdul.

Bila direnung-renungkan, memang ada kebenarannya. Pasti kita semua pernah berselisih faham dengan suami bukan?

Masa itu kita akan merasa marah, geram dan segala rasa terburuk akan muncul dalam hati. So, admin nak share tips yang perlu anda elakkan ketika sedang bergaduh dengan suami tersAyang. Manalah tahu berguna satu hari nanti.

1. JANGAN BERTENGKAR DI HADAPAN ANAK-ANAK

Anak-anak sedang dalam proses perkembangan serta pembelajaran. Jika ibubapanya kerap bertengkar di hadapannya, pasti ianya akan mempengaruhi pemikiran mereka. Jiwa mereka akan memberontak kerana 'peperangan' insan-insan kesayangannya akan memberikan kesan yang mendalam ke atas mental mereka. Oleh itu, kalau nak bergaduh tu carilah tempat yang lebih privacy seperti di dalam bilik atau di dalam kereta, asalkan jauh dari anak-anak.

2. JANGAN BERTERIAK SEHINGGA DIDENGARI OLEH JIRAN-JIRAN

Ini satu lagi masalah jika suami isteri sedang bergaduh. Masing-masing ingin mempertahankan pendapat serta ego masing-masing. Ada yang menjerit atau meninggikan suara sehingga didengari bukan sahaja oleh anak-anak, malah jiran tetangga sebelah menyebelah. Akhirnya rahsia suami isteri tersebut pecah kerana diketahui oleh orang-orang di sekeliling. Jadi, jagalah aib masing-masing agar maruah keluarga terpelihara rapi.

3. JANGAN MELIBATKAN IBU BAPANYA

Semua orang akan marah kalau ada yang menyebut-nyebut tentang sesuatu yang negatif tentang ibubapanya. Samalah halnya jika kita mempersendakan parents suami di hadapannya. Jagalah lidah anda dari mencerca atau mengkritik secara berlebihan kerana pada ketika itu, syaitan akan menghasut anda untuk membuatkan luka yang sedia ada semakin parah. Ibubapa suami sama seperti ibubapa anda di dunia dan di akhirat dan hubungan ini tidak akan terputus selamanya.

4. JANGAN SESEKALI MENYEBUT-NYEBUT KEKURANGANNYA

Bila dah marah, semua perkara akan diungkit bukan? Soal gaji, soal duit, soal kerja, soal fizikal, soal kemampuan, soal siapa yang lebih dan siapa yang kurang...semuanya kalau boleh nak dijadikan hujah dalam pertengkaran suami isteri. Perbuatan ini hanya akan membuatkan perbalahan menjadi semakin parah, malah akan meninggalkan parut yang berbekas dalam waktu yang sangat panjang. Jadi fokuslah pada jalan penyelesaian, bukannya kekurangan pasangan.

5. JANGAN MENGUNGKIT-UNGKIT PEMBERIAN SEBELUM-SEBELUM INI

Dalam pertengkaran suami isteri, pernah berlaku di mana si isteri mengatakan seperti ini, "Seluar dalam abang pun saya beli, jangan nak berlagak ok!" Atau pun seperti ini, "Kalau bukan kerana saya, abang tak merasa lah kereta besar, rumah besar..." Atau pun sebegini, "Abang naik sekarang ni pun pasal keluarga saya tau, so ingat-ingat sikit!" Apa sahaja kata-kata mengungkit, perlu dihindari semasa bergaduh kerana ianya tidak menyelesaikan masalah pun.

6. JANGAN SESEKALI MEMUKUL ATAU MENCEDERAKAN PASANGAN

Biasanya suami yang kerap mencederakan isteri apabila bergaduh. Akan tetapi, ada juga sebaliknya. Ada juga isteri yang lebih dominan dari suaminya. Apabila ada perselisihan faham, suaminya lah yang menjadi mangsa. Kaki, tangan, periuk belanga hinggap ke tubuh badan suami. Apa-apa pun, mencederakan pasangan adalah satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan sama sekali baik suami mahu pun isteri. Berbincanglah dengan matang dan jangan menjadi pembuli atau mangsa dibuli.

7. JANGAN LAYAN PERASAAN TERLALU MARAH

Apabila kita dalam keadaan yang terlalu marah, syaitan akan menambahkan lagi api kemarahan tersebut. Sebaliknya, ambil nafas seketika agar anda menjadi tenang. Ambil wudhu' agar api kemarahan tersebut dapat dipadam. Jika masih marah, solat sunat dua rakaat dan berdoalah kepada Allah agar perselisihan dengan suami dapat diatasi dengan lebih mudah. Jika suami dalam keadaan marah, nasihatkan beliau untuk melakukan perkara yang sama juga. Buatkan secawan air kegemarannya sebagai penenang buatnya.

8. JANGAN MENJAJA CERITA ATAU MASALAH KEPADA ORANG LAIN

Dalam media sosial, berapa ramai kaum isteri mahu pun suami menjaja cerita rumahtangga mereka di facebook, whatsapp atau seumpamanya? Kalau boleh, selesaikan perbalahan tanpa perlu orang ketiga, cukupkah sekadar anda dan suami anda sahaja menyelesaikannya. Jika masalah tersebut sangat rumit atau besar, anda berdua boleh dapatkan khidmat nasihat dari pejabat agama daerah yang berdekatan. 

9. JANGAN DIBIARKAN BERLARUTAN LEBIH TIGA HARI

Biasanya kalau gaduh-gaduh manja, tempoh untuk berbaik semula memakan masa beberapa minit atau pun paling lama, sehari. Kalau berpanjangan selama berhari-hari, terdapat kemungkinan yang masing-masing sangat ego atau pun masalah tersebut sangat besar. Gunakan segala kemahiran memujuk anda untuk mencairkan suami. Jangan dibiarkan lama-lama kerana macam-macam boleh berlaku dalam tempoh tersebut. Dalam agama pun melarang untuk kita tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari.

10. JANGAN TERLALU JUAL MAHAL

Ini satu penyakit yang tiada ubat. Si suami cuba berbaik-baik, namun si isteri tetap juga nak merajuk. Jika suami anda dah angkat bendera putih tanda berdamai, terima sahaja permohonan maafnya itu. Bila dah berdamai, rasa sayang tu akan rasa lebih kuat bukan? Silap-silap hubungan intim akan menjadi lebih hot kerana masing-masing nak melepaskan kegeraman antara satu sama lain. Kalau jual mahal sangat, anda juga yang rugi. Setuju?

11. JANGAN SESEKALI BERMAIN-MAIN DENGAN PERKATAAN TALAK ATAU CERAI

"Jangan lafazkannya, hasrat di jiwa...kerana ia, kan menambah duka...." Itulah lirik dari KRU. Perkataan cerai, jangan sesekali dipinta. Dalam keadaan apa pun, ucapkan kata-kata yang positif atau jangan berkata-kata langsung. Sebahagian kes perceraian terjadi akibat si isteri terlalu mendesak suami. Apabila talak sudah dilafazkan, nasi sudah menjadi bubur. Lebih parah lagi jika jatuh talak tiga, tiada harapan untuk kembali melainkan anda berkahwin dan bercerai dengan orang lain.

Semoga kesemua sebelas tips ini bermanfaat buat anda. Jika ada pertengkaran dengan suami, segeralah ingat balik panduan ini agar tidak berpanjangan. 

Semoga bermanfaat!

Berita Terkait :




Write a Facebook Comment

Tuliskan Komentar anda dari account Facebook

View all comments

Write a comment